OGOS 2025

Lebih RM10 Bilion Telah Diperuntukkan Untuk Projek Bekalan Air Di Sarawak


KUCHING, 26 Ogos 2025 - Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan lebih RM10 bilion untuk pelbagai projek bekalan air di seluruh Sarawak. 

Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan loji rawatan air. 

Menurutnya, sejumlah RM1.1 bilion diperuntukkan untuk mengganti dan membaik pulih sistem paip uzur, RM2 bilion bagi pelaksanaan sistem grid air dan ditambah dengan beberapa projek lain seperti sistem bekalan air luar bandar di bawah projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS). 

"Kalau diikutkan dalam anggaran perbelanjaan mencecah RM10 bilion.

"Kalau dilihat, projek loji rawatan air mencecah RM6 bilion manakala projek menggantikan dan membaik pulih sistem paip seluruh Sarawak pula diperuntukkan RM1.1 bilion.

"Tambah lagi dengan sistem grid bekalan air yang mencecah RM2 bilion, dicampur lagi dengan projek-projek lain, semuanya hampir mencecah RM10 bilion.

"Ini semua bergantung kepada dana kita sendiri sebab itu 'pening kepala' nak cari duit, tapi semuanya berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sarawak Water Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tarikh siap projek sistem paip yang dilaksanakan, beliau menyatakan Kerajaan Sarawak menyasarkan ia siap sepenuhnya pada tahun 2030 seiring dengan projek-projek lain seperti ketersambungan lebuh raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir. 

Selain itu, Premier Sarawak turut mengesyorkan agar data sistem paip yang dilaksanakan akan disimpan dalam Pusat Data Sarawak bagi kegunaan masa hadapan. 

Tambahnya, ini setelah mengambil kira apabila banyak projek jalan raya yang dilaksanakan telah menyebabkan gangguan bekalan air disebabkan tiada data lokasi sistem paip lama yang boleh dirujuk. 

Terdahulu, beliau melancarkan Sarawak Water Sdn Bhd yang menggabungkan Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) di bawah satu entiti.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.